Monday, 26 October 2015

Perlukah menjadi sempurna sebelum memberi nasihat?



     Assalamualaikum..Pada kali ini aku ingin membawa satu topik yang sudah lama terpendam dalam hati. Satu topik di mana sudah lama aku fikirkan namun, hanya sekarang aku temui jawapannya.
Bila disebut tentang memberi nasihat maka, masyarakat kita akan terbayangkan dan beranggapan bahawa seseorang itu perlu "sempurna" dahulu baru boleh memberikan nasihat.


"Kau tu bukannya baik sangat, tak payah laa nak nasihatkan orang"



"Diri sendiri pun tak betul lagi ada hati nak nasihat orang. Cermin diri dulu laa baru nasihat orang"


"Sebelum nak nasihat aku pastikan diri hang perfect dulu okey?'




Kata-kata di atas merupakan antara kata-kata yang dilemparkan kepada kita apabila kita cuba menasihati orang. Kata-kata tersebut juga lah yang menjadi "perisai" kepada mereka untuk mempertahankan maksiat atau dosa mereka.Namun, adakah perlu untuk kita menjadi "perfect" sebelum boleh menasihati orang?



Kata Imam Hassan Al-Basri : "Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bererti aku ini yang terbaik dikalamgan kamu, bukan juga yang paling soleh dikalangan kamu. Aku juga pernah melampaui batas untuk diriku. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna maka tidak akan ada pendakwah, maka akan sedikit lah orang yang memberi peringatan"


Lihatlah apa yang dikatakan oleh Imam Hasan Al-Basri, seandainya kita hanya boleh berdakwah ketika diri kita sempurna maka tidak akan ada pendakwah dan dakwah juga tidak akan berjalan. Jika dakwah tidak berjalan maka manusia akan hidup dalam keadaan lalai kerana tidak ada orang yang memberi peringatan.


Kata Almarhum Sheikh Mustafa Masyhur : "Aslih nafsak Wad'u ghairak"

"Perbaikilah diri kamu dan ajak lah orang lain (kearah kebeikan)"


Mungkin ada yang faham kata-kata ini menyuruh kita memperbaiki diri dulu baru boleh ajak orang lain. Jika ia benar begitu maka kata-kata tersebut akan jadi begini " Perbaikilah diri kamu kemudian ajaklah orang lain". Namun sebaliknya Sheikh Mustafa Masyhur meletakkan "dan" yang menunjukkan bahawa memperbaiki diri dan ajaklah orang lain itu adalah beriringan dan dilakukan bersama. Ini bermaksud, kita hendaklah memperbaiki diri dan dalam masa yang sama perlu ajak orang lain bersama. Kata-kata tersebut langsung tidak menyuruh kita menjadi "perfect" dahulu sebelum menasihati orang lain.

Jadi, kedua-dua ayat diatas menyeru kita supaya saling nasihat menasihati antara satu sama lain dan tidak perlu menunggu ketika diri kita sempurna dahulu. Kata-kata tersebut menyanggahi pemikiran masyarakat kita yang agak "sempit" dan tidak mahu menerima nasihat. Tidak kurang juga mereka yang ingin mempertahankan doa atau kesalahan mereka. 

Kita begitu sedih melihat orang yang cuba mempertahakan dosa mereka, sedangkan Allah telah meutup aib mereka. Mereka seolah-olah bangga dengan dosa yg dilakukan. Maka, nasihat yang kita berikan akan dibalas dengan kata-kata cacian dan sumpah seranah. Apakah kita tidak boleh menasihati? 


Firman Allah di dalam Al-Quran: 
وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَى تَنْفَعُ الْمُؤْمِنِينَ
"Dan berilah peringatan sesungguhnya peringatan itu bermanfaat kepada orang mukmin"(QS. adz-Dzariyat: 55)

Orang mukmin amat memerlukan kepada peringatan sebagaimana yang telah di Firmankan oleh Allah S.W.T di atas. Maka, mereka yang menghalang orang lain untuk memberi nasihat atau peringatan telah menyanggahi apa yang disebutkan di dalam Al-Quran. Semua manusia layak memberikan peringatan walaupun dia hanya seorang hamba. Tidak ada mana-mana ayat yang menghalang golongan tertentu untuk memberikan nasihat atau peringatan. Berilah peringatan sesama manusia dan janganlah merasa syurga itu "sempit" dan hanya muat untuk kita seorang sahaja. Jika budaya nasihat ini sering bermain di kalangan masyarakat kita maka akan lahirlah masyarakat yang penyayang.


Ayuh, sahabat-sahabatku. Marilah kita sama-sama saling nasihat menasihati. Rendahkanlah EGO dan tundukkan hati kita untuk menerima nasihat. Abaikan mereka yang sering "panas" dan "ego" apablia dinasihati. Marilah sama-sama kita berubah menjadi seorang muslim yang baik dan soleh.. Ameen...




P/S : Saya juga tidak sempurna dan juga punya banyak dosa maka janganlah menganggap nasihat ini tidak berguna. Saya juga sedang cuba memperbaiki diri kearah yang lebih baik. Maafkan saya atas kekurangan diri. Ampunkan saya atas kelemahan diri. Saya juga manusia yang lalai. 







   Saksikan video ini.....

Semoga bermanfaat ....... ^_^

Sunday, 8 February 2015

Pemuda pemudi akhirat


     Apabila disebut pemuda, maka kita akan terbayang akan seseorang yang mempunyai semangat yang tinggi, berani,kuat, gagah dan sebagainya. Namun, itu bukanlah definisi sebenar pemuda tetapi ianya adalah ciri-ciri yang perlu ada pada diri pemuda. Di dalam Al-quran, Allah telah menjelaskan maksud pemuda dalam surah Al-Kahfi ayat 13 :

نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

"Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar, sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk"


Ketahuilah ! usia muda ini merupakan usia yang sangat penting bagi seseorang manusia. Hal ini kerana, pada usia muda inilah kita akan memperoleh TENAGA MAKSIMUM sebagai seorang manusia dan mampu melakukan apa saja hatta mampu juga mengubah dunia. Pada usia ini, semangat pemuda sangat berkobar-kobar dan mahu melakukan dan mencuba apa saja. Itulah antara ciri istimewa pemuda. Namun, apakah kita hanya ingin menjadi pemuda biasa? yang hanya melakukan sesuatu kerana hendakkan dunia? Sebagai seorang pemuda muslim kita perlu menggunakan usia ini sebaiknya. Dalam sebuah hadis, Rasul S.a.w bersabda :

"Tidak akan beranjak kaki anak Adam pada Hari Kiamat dari sisi Rabbnya sampai dia ditanya tentang 5 (perkara) : Tentang umurnya dimana dia habiskan, tentang masa mudanya dimana dia usangkan, tentang hartanya dari mana dia mendapatkannya dan kemana dia keluarkan dan tentang apa yang telah dia amalkan dari ilmunya”. (HR. At-Tirmizi)

Dari hadis tersebut, jelas menunjukkan kepada kita bahawa masa muda kita akan ditanya oleh Allah S.W.T. Maka apakah kita mahu mensia-siakan usia muda kita? Apa yang mahu kita jawab kepada Allah bila ditanya tentang usia muda kita?

Wahai pemuda ! Untuk menjadi seorang pemuda yang bermatlamatkan akhirat bukanlah mudah bagi kita. Namun, kita harus cuba dan terus mencuba.

Dalam hal ini, imam Hasan Al-Banna menggariskan 4 rukun pemuda iaitu :
1)Iman (hati yang suci)
2)Ikhlas
3)Hamassah (semangat yang tinggi)
4)Amal (azam pemuda)

Pemuda hebat vs pemuda dhaif




Wahai pemuda ! adakah kita hanya ingin menjadi seorang pemuda yang pasif? yang tidak memberikan apa-apa sumbangan kepada masyarakat apatah lagi negara? Apakah kita hanya mahu bersuka-ria tanpa ingin mengambil tahu tentang masalah umat? Jika hidup kita hanya ingin bersuka-ria maka kita tergolong dalam golongan pemuda dhaif(lemah). Apakah kita ingin menjadi pemuda yang lemah, yang dipandang hina oleh masyarakat? sudah tentu tidak. Ketauhuilah wahai pemuda, tenaga kalian amat diperlukan masyarakat bagi membina tamadun yang berjaya.kata sheikh yusuf Al-Qardhawi "jika kamu hendak melihat masa depan sesuatu negara. maka lihatlah pemuda pemudinya sekaranag"

Antara ciri-ciri pemuda yang dhaif ialah :
1) Hanya mahu bersuka-ria
2) Tidak mahu bertanggungjawab terhadap apa pun
3) Tidak mahu keluar dari zon yang selesa
4) Tidak Tidak mengambil peduli hal umat islam








Maka, seandainya kita mempunyai ciri-ciri tersebut, maka kita tergolong dalam golongan pemuda yang lemah dan hanya menghabiskan waktu muda dengan perkara yang sia-sia. Ingatlah, kita diciptakan bukanlah untuk perkara yang sia-sia. Firman Allah dalam surah Al-mukminun ayat 115 :


A115
"Apakah kamu menyangka bahawa Kami ciptakan kamu dengan perkara yang sia-sia?dan kamu menyangka bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

Oleh itu, marilah kita menjadi pemuda yang hebat, yang mampu menggoncang dunia. Maka, seorang pemuda yang bermatlamatkan akhirat mestilah keluar dari "zon selesa" iaitu zon yang melalaikan kita dari-Nya. Seorang pemuda hebat juga perlu bertanggungjawab atas apa yang dilakukannya dan tidak menunding jari terhadap orang lain. Masa muda inilah yang sepatutnya digunakan untuk membina bahtera kehidupan yang baik, bukan hanya bersuka-ria tanpa arah tuju.



Pemuda Kini vs Pemuda silam 

Pemuda zaman ini sering terdedah dengan budaya hedonisme yang melampau. Budaya ini telah melanda semua pemuda di seluruh dunia. Ramai yang menganggap ianya hanyalah satu trend masa kini dan tidak membawa kesan buruk kepada remaja. Namun, kini sudah terbukti bahawa trend inilah yang telah menghancurkan banyak bangsa di dunia ini. Budaya K-pop misalnya telah berjaya marasuk jiwa  anak muda di negara kita sehingga sampai satu tahap di mana siapa yang tidak mengenal k-pop, maka ianya satu keaiban yang besar. Maka, sebagai pemuda yang hebat, mereka sesekali tidak akan terpengaruh dengan trend2 semasa yang mampu menjatuhkan iman mereka.

Maka, contohilah pemuda pada zaman Rasulullah.Para pemuda yang mendapat didikan secara langsung dari Rasulullah sudah semestinya nama mereka gah terpahat dalam lipatan sejarah Islam.

Ingatkah kita akan Saidina ali, disaat muda beliau berani menggantikan Rasulullah di tempat tidur baginda ketika ada ancaman pembunuhan terhadap baginda?

Ingatkah kita terhadap Zaid bin Tsabit, seorang pemuda yang bijak sehingga beliau dilantik menjadi penulis wahyu oleh Rasulullah walaupun masih muda?

Ingatkah kita terhadap Mus'ab bin Umair yang menjadi Duta Islam pertama di Madinah dan berjaya membangunkan Madinah?Beliau juga merupakan guru pertama di Madinah dan ketika itu beliau hanyalah seorang belia.

Nama-nama tersebut merupakan antara contoh pemuda didikan Rasulullah yang perlu kita contohi dan mengambil pengajaran dari mereka. Mereka merupakan generasi awal yang membantu menyebarkan Islam di dunia ini maka, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyambung perjuangan mereka.

Akhir kata, marilah sama-sama kita menjadi pemuda yang bermatlamatkan akhirat, dan janganlah kita menjadi hamba kepada dunia. Dunia ini umpama persinggahan yang sementara, bagi mengutip bekalan untuk menuju kampung akhirat.


Wallahua'lam....
















Wednesday, 21 January 2015

السلام عليكم Pembuka kata

بِسمِ اللَّهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ Pemanis bicara

Pada permulaan ini saya ingin berkongsi sebuah tajuk mengenai "Matlamat kita di hidupkan di dunia ini"...InsyaAllah dengan berbekalkan sedikit ilmu saya akan menulis perkongsian ini yang mana saya kira amat penting untuk diketahui umum tentang tujuan kita dihidupkan di atas muka bumi ini.

Saudara sekalian, pernahkah kita terfikir apa sebenarnya tujuan kita dihidupkan di dunia ini?Adakah kita dihidupkan semata-mata untuk mencari rezeki sehingga ke akhir hayat kemudian mati begitu saja?Jika kita berfikir begitu tiadalah perbezaan penciptaan kita dengan makhluk lain seperti haiwan da tumbuhan yang hidup hanya untuk mencari rezeki kemudiannya membiak seterusnya mati begitu saja. Tetapi, penciptaan kita sebenarnya punya tujuan yang tersendiri yang perlu difahami oleh sekalian manusia. InsyaAllah saya akan berkongsi sedikit pengetahuan tentang tajuk ini dalam penulisan saya ini.

   Pada awal lagi Allah telah telah berfirman hendak menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini untuk  mentadbir bumi. Hal ini di sebut di dalam surah Al-Baqarah ayat 30 

  "وَ إِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّيْ جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيْفَةً قَالُوْا أَتَجْعَلُ فِيْهَا مَن يُفْسِدُ فِيْهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَ نَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَ نُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّيْ أَعْلَمُ مَا لاَ تَعْلَمُوْنَ"



Dan (ingatlah) tatkala Tuhan engkau berkata kepada Malaikat : Sesungguhnya Aku hendak menjadikan di bumi seorang khalifah. Berkata mereka : Apakah Engkau hendak menjadikan padanya orang yang merusak di dalam nya dan menumpahkan darah, padahal kami bertasbih dengan memuji Engkau dan memuliakan Engkau ? Dia berkata : Sesungguhnya Aku lebih mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.


Ayat ini jelas memberitahu kita bahawa penciptaan manusia di atas muka bumi ini adalah untuk menjadi khalifah(Wakil)  dan mentadbir muka bumi ini.

Dalam ayat lain, Allah juga ada berfirman :

  " وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ"
Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.
(surah Az-Zariyat ayat 56)



Ayat ini juga menjelaskan kepada kita bahawa penciptaan kita adalah hanya untuk menyembah Allah dengan mentaati perintahNya serta jauhi larangan-Nya.Maka, adakah perkara yang lebih penting yang perlu kita lakukan selain dari mentaati Allah? tiada sama-sekali.

Allah juga ada menyatakan bahawa penciptaan manusia ini bukanlah suatu yang sia-sia. Firman-Nya dalam surah Al-mu'minun ayat 115 :

{أفحسبتم أنما خلقناكم عبثا وأنكم إلينا لا ترجعون} [المؤمنون : 115

"Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya kami menciptakan kamu secara main-main (saja) dan kamu tidak akan dikembalikan kepada kami?"

Maka, perlulah kita sedar bahawa penciptaan kita ini bukanlah perkara yang sia-sia kerana kita diciptakan punya tujuan dan matlamat tersendiri.Oleh itu, marilah kita sama-sama menjadi hamba-Nya yang baik mengikut apa yang telah disampaikan oleh Rasul kita .Ketahuilah, kehidupan kita di dunia ini ibarat persinggahan di suatu tempat persinggahan bagi mengutip segala bekalan untuk meneruskan perjalanan yang masih panjang.

Sebagai seorang Muslim, kita perlu sentiasa peka tentang hakikat kejadian kita. Pelbagai persoalan perlu bermain di minda bagi menjadikan kita hamba yang peka terhadap suruhan-Nya.

Antara persoalan yang perlu bermain di fikiran kita ialah :

  • -Dari mana kita datang?
  • -Untuk apa kita didatangkan?
  • -Dan dimana tempat untuk kita kembali?
Jika semua persoalan ini sering menghantui minda kita, InsyaAllah, kita akan menjadi seorang  hamba yang peka dan tidak lalai terhadap suruhan-Nya.

Wallahua'lam.....