Sunday, 8 February 2015

Pemuda pemudi akhirat


     Apabila disebut pemuda, maka kita akan terbayang akan seseorang yang mempunyai semangat yang tinggi, berani,kuat, gagah dan sebagainya. Namun, itu bukanlah definisi sebenar pemuda tetapi ianya adalah ciri-ciri yang perlu ada pada diri pemuda. Di dalam Al-quran, Allah telah menjelaskan maksud pemuda dalam surah Al-Kahfi ayat 13 :

نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

"Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar, sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk"


Ketahuilah ! usia muda ini merupakan usia yang sangat penting bagi seseorang manusia. Hal ini kerana, pada usia muda inilah kita akan memperoleh TENAGA MAKSIMUM sebagai seorang manusia dan mampu melakukan apa saja hatta mampu juga mengubah dunia. Pada usia ini, semangat pemuda sangat berkobar-kobar dan mahu melakukan dan mencuba apa saja. Itulah antara ciri istimewa pemuda. Namun, apakah kita hanya ingin menjadi pemuda biasa? yang hanya melakukan sesuatu kerana hendakkan dunia? Sebagai seorang pemuda muslim kita perlu menggunakan usia ini sebaiknya. Dalam sebuah hadis, Rasul S.a.w bersabda :

"Tidak akan beranjak kaki anak Adam pada Hari Kiamat dari sisi Rabbnya sampai dia ditanya tentang 5 (perkara) : Tentang umurnya dimana dia habiskan, tentang masa mudanya dimana dia usangkan, tentang hartanya dari mana dia mendapatkannya dan kemana dia keluarkan dan tentang apa yang telah dia amalkan dari ilmunya”. (HR. At-Tirmizi)

Dari hadis tersebut, jelas menunjukkan kepada kita bahawa masa muda kita akan ditanya oleh Allah S.W.T. Maka apakah kita mahu mensia-siakan usia muda kita? Apa yang mahu kita jawab kepada Allah bila ditanya tentang usia muda kita?

Wahai pemuda ! Untuk menjadi seorang pemuda yang bermatlamatkan akhirat bukanlah mudah bagi kita. Namun, kita harus cuba dan terus mencuba.

Dalam hal ini, imam Hasan Al-Banna menggariskan 4 rukun pemuda iaitu :
1)Iman (hati yang suci)
2)Ikhlas
3)Hamassah (semangat yang tinggi)
4)Amal (azam pemuda)

Pemuda hebat vs pemuda dhaif




Wahai pemuda ! adakah kita hanya ingin menjadi seorang pemuda yang pasif? yang tidak memberikan apa-apa sumbangan kepada masyarakat apatah lagi negara? Apakah kita hanya mahu bersuka-ria tanpa ingin mengambil tahu tentang masalah umat? Jika hidup kita hanya ingin bersuka-ria maka kita tergolong dalam golongan pemuda dhaif(lemah). Apakah kita ingin menjadi pemuda yang lemah, yang dipandang hina oleh masyarakat? sudah tentu tidak. Ketauhuilah wahai pemuda, tenaga kalian amat diperlukan masyarakat bagi membina tamadun yang berjaya.kata sheikh yusuf Al-Qardhawi "jika kamu hendak melihat masa depan sesuatu negara. maka lihatlah pemuda pemudinya sekaranag"

Antara ciri-ciri pemuda yang dhaif ialah :
1) Hanya mahu bersuka-ria
2) Tidak mahu bertanggungjawab terhadap apa pun
3) Tidak mahu keluar dari zon yang selesa
4) Tidak Tidak mengambil peduli hal umat islam








Maka, seandainya kita mempunyai ciri-ciri tersebut, maka kita tergolong dalam golongan pemuda yang lemah dan hanya menghabiskan waktu muda dengan perkara yang sia-sia. Ingatlah, kita diciptakan bukanlah untuk perkara yang sia-sia. Firman Allah dalam surah Al-mukminun ayat 115 :


A115
"Apakah kamu menyangka bahawa Kami ciptakan kamu dengan perkara yang sia-sia?dan kamu menyangka bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

Oleh itu, marilah kita menjadi pemuda yang hebat, yang mampu menggoncang dunia. Maka, seorang pemuda yang bermatlamatkan akhirat mestilah keluar dari "zon selesa" iaitu zon yang melalaikan kita dari-Nya. Seorang pemuda hebat juga perlu bertanggungjawab atas apa yang dilakukannya dan tidak menunding jari terhadap orang lain. Masa muda inilah yang sepatutnya digunakan untuk membina bahtera kehidupan yang baik, bukan hanya bersuka-ria tanpa arah tuju.



Pemuda Kini vs Pemuda silam 

Pemuda zaman ini sering terdedah dengan budaya hedonisme yang melampau. Budaya ini telah melanda semua pemuda di seluruh dunia. Ramai yang menganggap ianya hanyalah satu trend masa kini dan tidak membawa kesan buruk kepada remaja. Namun, kini sudah terbukti bahawa trend inilah yang telah menghancurkan banyak bangsa di dunia ini. Budaya K-pop misalnya telah berjaya marasuk jiwa  anak muda di negara kita sehingga sampai satu tahap di mana siapa yang tidak mengenal k-pop, maka ianya satu keaiban yang besar. Maka, sebagai pemuda yang hebat, mereka sesekali tidak akan terpengaruh dengan trend2 semasa yang mampu menjatuhkan iman mereka.

Maka, contohilah pemuda pada zaman Rasulullah.Para pemuda yang mendapat didikan secara langsung dari Rasulullah sudah semestinya nama mereka gah terpahat dalam lipatan sejarah Islam.

Ingatkah kita akan Saidina ali, disaat muda beliau berani menggantikan Rasulullah di tempat tidur baginda ketika ada ancaman pembunuhan terhadap baginda?

Ingatkah kita terhadap Zaid bin Tsabit, seorang pemuda yang bijak sehingga beliau dilantik menjadi penulis wahyu oleh Rasulullah walaupun masih muda?

Ingatkah kita terhadap Mus'ab bin Umair yang menjadi Duta Islam pertama di Madinah dan berjaya membangunkan Madinah?Beliau juga merupakan guru pertama di Madinah dan ketika itu beliau hanyalah seorang belia.

Nama-nama tersebut merupakan antara contoh pemuda didikan Rasulullah yang perlu kita contohi dan mengambil pengajaran dari mereka. Mereka merupakan generasi awal yang membantu menyebarkan Islam di dunia ini maka, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyambung perjuangan mereka.

Akhir kata, marilah sama-sama kita menjadi pemuda yang bermatlamatkan akhirat, dan janganlah kita menjadi hamba kepada dunia. Dunia ini umpama persinggahan yang sementara, bagi mengutip bekalan untuk menuju kampung akhirat.


Wallahua'lam....
















No comments:

Post a Comment