Perlukah menjadi sempurna sebelum memberi nasihat?
Assalamualaikum..Pada kali ini aku ingin membawa satu topik yang sudah lama terpendam dalam hati. Satu topik di mana sudah lama aku fikirkan namun, hanya sekarang aku temui jawapannya.
Bila disebut tentang memberi nasihat maka, masyarakat kita akan terbayangkan dan beranggapan bahawa seseorang itu perlu "sempurna" dahulu baru boleh memberikan nasihat.
"Kau tu bukannya baik sangat, tak payah laa nak nasihatkan orang"
"Diri sendiri pun tak betul lagi ada hati nak nasihat orang. Cermin diri dulu laa baru nasihat orang"
"Sebelum nak nasihat aku pastikan diri hang perfect dulu okey?'
Kata-kata di atas merupakan antara kata-kata yang dilemparkan kepada kita apabila kita cuba menasihati orang. Kata-kata tersebut juga lah yang menjadi "perisai" kepada mereka untuk mempertahankan maksiat atau dosa mereka.Namun, adakah perlu untuk kita menjadi "perfect" sebelum boleh menasihati orang?
Kata Imam Hassan Al-Basri : "Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bererti aku ini yang terbaik dikalamgan kamu, bukan juga yang paling soleh dikalangan kamu. Aku juga pernah melampaui batas untuk diriku. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna maka tidak akan ada pendakwah, maka akan sedikit lah orang yang memberi peringatan"
Lihatlah apa yang dikatakan oleh Imam Hasan Al-Basri, seandainya kita hanya boleh berdakwah ketika diri kita sempurna maka tidak akan ada pendakwah dan dakwah juga tidak akan berjalan. Jika dakwah tidak berjalan maka manusia akan hidup dalam keadaan lalai kerana tidak ada orang yang memberi peringatan.
Kata Almarhum Sheikh Mustafa Masyhur : "Aslih nafsak Wad'u ghairak"
"Perbaikilah diri kamu dan ajak lah orang lain (kearah kebeikan)"
Mungkin ada yang faham kata-kata ini menyuruh kita memperbaiki diri dulu baru boleh ajak orang lain. Jika ia benar begitu maka kata-kata tersebut akan jadi begini " Perbaikilah diri kamu kemudian ajaklah orang lain". Namun sebaliknya Sheikh Mustafa Masyhur meletakkan "dan" yang menunjukkan bahawa memperbaiki diri dan ajaklah orang lain itu adalah beriringan dan dilakukan bersama. Ini bermaksud, kita hendaklah memperbaiki diri dan dalam masa yang sama perlu ajak orang lain bersama. Kata-kata tersebut langsung tidak menyuruh kita menjadi "perfect" dahulu sebelum menasihati orang lain.
Jadi, kedua-dua ayat diatas menyeru kita supaya saling nasihat menasihati antara satu sama lain dan tidak perlu menunggu ketika diri kita sempurna dahulu. Kata-kata tersebut menyanggahi pemikiran masyarakat kita yang agak "sempit" dan tidak mahu menerima nasihat. Tidak kurang juga mereka yang ingin mempertahankan doa atau kesalahan mereka.
Kita begitu sedih melihat orang yang cuba mempertahakan dosa mereka, sedangkan Allah telah meutup aib mereka. Mereka seolah-olah bangga dengan dosa yg dilakukan. Maka, nasihat yang kita berikan akan dibalas dengan kata-kata cacian dan sumpah seranah. Apakah kita tidak boleh menasihati?
Firman Allah di dalam Al-Quran:
وَذَكِّرْ فَإِنَّ الذِّكْرَى تَنْفَعُ الْمُؤْمِنِينَ
"Dan berilah peringatan sesungguhnya peringatan itu bermanfaat kepada orang mukmin"(QS. adz-Dzariyat: 55)
Orang mukmin amat memerlukan kepada peringatan sebagaimana yang telah di Firmankan oleh Allah S.W.T di atas. Maka, mereka yang menghalang orang lain untuk memberi nasihat atau peringatan telah menyanggahi apa yang disebutkan di dalam Al-Quran. Semua manusia layak memberikan peringatan walaupun dia hanya seorang hamba. Tidak ada mana-mana ayat yang menghalang golongan tertentu untuk memberikan nasihat atau peringatan. Berilah peringatan sesama manusia dan janganlah merasa syurga itu "sempit" dan hanya muat untuk kita seorang sahaja. Jika budaya nasihat ini sering bermain di kalangan masyarakat kita maka akan lahirlah masyarakat yang penyayang.
Ayuh, sahabat-sahabatku. Marilah kita sama-sama saling nasihat menasihati. Rendahkanlah EGO dan tundukkan hati kita untuk menerima nasihat. Abaikan mereka yang sering "panas" dan "ego" apablia dinasihati. Marilah sama-sama kita berubah menjadi seorang muslim yang baik dan soleh.. Ameen...
P/S : Saya juga tidak sempurna dan juga punya banyak dosa maka janganlah menganggap nasihat ini tidak berguna. Saya juga sedang cuba memperbaiki diri kearah yang lebih baik. Maafkan saya atas kekurangan diri. Ampunkan saya atas kelemahan diri. Saya juga manusia yang lalai.
Saksikan video ini.....
Semoga bermanfaat ....... ^_^
No comments:
Post a Comment